Pages

Friday, August 19, 2011

Nostalgia semasa kanak kanak riang dibulan Ramadhan

Bulan Ramadhan ini aku tersenyum melihat kanak-kanak  berpuasa -  ada yang merengek nak buka puasa sebab terlalu letih , lapar dan dahaga dan tak kurang pula yang " steady " seperti orang dewasa - teringat aku kesah semasa kecil semasa mula-mula belajar berpuasa . Memori aku masih kuat lagi . Itulah nostalgia yang masih kekal diingatan.

Ahhhhh ..memang satu " big ordeal" .yang mencabar ..Ketika itu baru 6 tahun. Atas galakan ibu , abah dan kakak -kakak , aku sedia hendak merasai berpuasa dalam ragu -ragu boleh tahan ke atau tidak , agar aku diterima dalam kelompok orang berpuasa terutama sekali semasa berbuka . Lagipun " peer pressure " ( pengaruh rakan sebaya ) yang sudah mulai  berpuasa tentu aku akan ketinggalan nanti jika tidak turut serta.

Aku  berpuasa penuh tetapi tidak cukup sebulan lebih kurang 20 hari ....Kira Ok lah tu . Walaupun aku tahu ada yang sebaya aku lengkap sebulan . Memang "terror" lah . Itupun gara gara aku hendakkan duit raya . Ibu berjanji satu hari puasa dapat 20 sen ....Kira besar lah nilai nya pada ku lagipun keluarga bukan lah orang berada. Namun aku tetap gembira dan bersyukur dengan apa yang ada .

Minggu pertama bagai nak " give up " saja . Bangun saja pagi -pagi perut mula berkeroncong lapar. Maka aku akan kedapur dengan senyap bila orang tak nampak ..."tip toeing  " berjalan ibarat pijak semut pun tak mati seperti dalam cerita filem P Ramlee ...untuk mencari lebihan makanan sahur . Aku akan buka periuk manalah tahu ada lagi makanan untuk kujamah . Perut ku berbunyi bunyi  mahu di isi . Tidak biasa dengan secara tiba-tiba kosong . Tentu lah ia memberontak

Namun hasrat aku tak kesampaian . Kantoi bila ada jiran sebelah nampak ...dan terus menyanyikan pantun dua kerat yang masyhur ketika itu untuk menyindir ku  kuat pula tu agar orang lain pun perasan : " Hoi ..puasa yang yok pagi pagi bukak periuk " . Hah tak jadi nak jamah . Aku beri alasan .. " Tengok saja bukan nak makan " . Ahhh ..baik aku berlapar lah asalkan tak malu kena sindir ...ha ha ha

Aku lterpaksa lupakan operasi rahsia dan hasrat untuk membuka lebih awal terus  mencari kawan kawan untuk bermain . Tiba waktu tengahhari ...apabila sang suria tegak di atas kepala ...cuaca terik panas membakar . Tekak akan kehausan dan dahaga yang amat akan mula terasa .Sudahlah dalam rumah pun berbahang ..kipas angin pun tidak ada ...ventilasi udara pun tidak bagus . Kehausan tekak bertambah cepat lagi rasanya .

Kerap aku akan larikan diri bentangkan tikar mengkuang dibawah rumah diatas tanah  .Sejuk juga . Cuba lelapkan mata . Manalah tahu bila bangun nanti harap -harap dah dekat nak buka ."wishful thinking" tu namanya . Sebab jika aku tengok jam dinding seolah olah tidak bergerak atau memang sengaja jarum jam mahu melambatkan pergerakan untuk menguji keimanan aku . Memanglah baru tahu menanti itu ibarat satu penyiksaan seperti lirik sebuah lagu yang popular entah siapa penyanyi nya . Orang putih kata ibarat  "eternity " menunggu nya . Bila dah dewasa dan berpelajaran itu lah seperti kata saintis terkenal Albert Einstein dalam teori "relativity" nya . Kita akan rasa lama dalam keadaan yang kita tidak selesa sedangkan putaran waktu serupa.

Untuk " to kill the time " sementara menunggu buka jika hendak menonton TV ...kenalah pergi cari ehsan jiran yang ada TV ...sebab dirumah tiada ...radio transistor adalah ..

Ada lagi yang aku ingat . Lucu juga ceritanya . Selalunya bila kepanasan dan kehausan aku dan kawan -kawan akan mandi berulang-ulang kali dan jika orang tak nampak kami  akan berendam didalam kolam ( Kolam orang ramai mandi pakai gayong atau baldi  ).  "Irony" nya bila mandi aku cuba untuk "buat buat " tertelan air sedikit  mana lah tahu itukan tidak sengaja ...bukankah  hukum tidak sengaja tidak mengapa tidak batal puasa kata ustaz ustaz ?  Begitulah alasan loyar buruk ku ...tetapi  setelah difikirkan aku tak jadi lakukan sebab ada yang nampak walaupun orang tak nampak .

Ada ketikanya bila dahaga yang amat terasa bila aku tengok air diparit yang mengalir dibelakang rumah pun seakan akan aku mahu berkata : " wahai air parit yang mengalir  , jika aku tidak  teguh iman berpuasa engkau pun aku minum juga "

Namun ada saat yang aku paling suka . Selalu nya dalam pukul 5 petang . Mak dan kakak -kakak akan mula lakukan aktiviti memasak . Jiran jiran pun juga. Masa inilah aku menyibuk didapur . Nak tengok apa masakan utk dibuat buka. Mak dan kakak memang handal memasak . Tak pernah yang tidak sedap walaupun menu ayam tidak ada ( dulu orang Melayu tak mampu makan ayam , mahal kena nak tunggu kenduri kahwin atau hari raya baru boleh dapat rasa ayam tidak seperti sekarang kita bertuah bila bila boleh !! Kalau malas masak dial saja nombor talipon ayam sampai ( yang dah masak lah .) . Aku akan mencuri aroma masakan ....memang lazat . Batal ke atau makruh ? Tak pa lah kanak kanak masa tu .

Lagi satu saat yang ditunggu tunggu ialah loceng basikal berbunyi dan teriakan " kuih kuih " " kuih kuih " . Itu menandakan waktu kian hampir nak berbuka lagi 2 jam apabila kedengaran loceng basikal ini . Tapi teriakan "kuih kuih " ini ringkas dan pendek saja (  tidak seperti  panggilan suara shahdu Siti  Nurhaliza penyanyi No 1 negara yang pernah menjual kuih semasa kecil kini jutawan dan penghibur terkenal ) Tapi oleh Pak Lah ...ooops bukan mantan PM kita yang dikasihi ...Kami panggil pak cik ni Pak Lah penjual  kuih kuih Melayu ...penuh dalam bakul nya berbagai jenis kuih - kuih kaswi , kuih ketayap , dan yang paling hot adalah cucur udangnya . Memang sedap .

Tapi oleh kerana mak dan kakak kakak pun masak kuih sendiri - untuk jimat kos adik beradik kan ramai - maka cuma beli apa yang yang mampu saja .

Ingat lagi tugas yang paling penting - pada aku lah - adalah tugas iberikan pada ku - kena beli air batu / ais .Mana bisa berbuka tanpa air batu buat menghilangkan sehari suntuk dahaga ibarat musafir dipadang pasir yang kering kontang .  Tentu tiak lengkap . Jauh juga kena berjalan untuk membeli ais . Masa tu rata rata jiran jiran pun tidak ada peti ais ..jadi  terpaksa lah beli . Apek tua yang setia akan datang dengan lori mini nya yang penuh sarat dengan ketulan air batu yang ditutupi habuk papan ( untuk mengelak dari cair ) . Bergantung kepada apa saiz yang kita mahu apek ni akan gergaji mengikut harga .

Hah ...cabaran yang paling berisiko tinggi ialah aku kena pasti kan bila tiba rumah ais masih ada . Jika tidak sia sia saja. Pernah apabila tiba rumah tinggal bungkusan suratkhabar dan habuk papan saja. Apa nak buat. Ais dan jadi air .

Masa yang ditunggu tunggu akhirnya tiba . 10 minit sebelum berbuka aku akan buat "ritual' sendiri ...kena buat explorasi lauk mana, kuih mana, , air apa , akan aku bedal . Ketika kelaparan semua nya yang terhidang nampak lazat dan akan ku santap habis-habisan nanti ...Tapi sebaik azan bergema disurau tanda waktu berbuka , bukan makanan yang aku sambar malah air sirap ais dengan biji selasih ( atau air sirap bandung ) buatan sendiri lah yang jadi sasaran utama . Bukan segelas dua malah bergelas gelas hingga aku tersandar terpaksa KIV makanan lain untuk disantap kemudian

Begitulah gara gara mulai berpuasa.....memang melucukan tapi penuh hikmah tersendiri .

Sekian